HUTAN SIMPANAN HUTAN DARA (VIRGIN JUNGLE RESERVE – VJR)
Hutan Simpanan Hutan Dara (Virgin Jungle Reserve (VJR) mula ditubuhkan sejak tahun 1950. VJR merupakan kawasan-kawasan hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang tidak diganggu dan padat dengan tumbuh-tumbuhan terutamanya hutan yang mempunyai ciri-ciri istimewa dan disimpan khas untuk tujuan penyelidikan.
Tujuan utama penubuhan VJR ialah untuk menggambarkan jenis-jenis hutan yang terdapast di Semenanjung Malaysia, khususnya yang mempunyai ciri-ciri istimewa bagi tujuan saintifik agar ianya dapat dipelihara dan diurus secara berkekalan.
VJR juga berperanan dan berfungsi untuk tujuan seperti berikut:
Sebagai arboretum untuk memelihara contoh-contoh semua jenis hutan yang diwakili termasuk flora dan fauna yang terkandung di dalamnya;
Sebagai rangkaian kawasan penyelidikan perhutanan dan kawasan dirian biji benih;
Sebagai kawasan kawalan semula jadi untuk membandingkan isi hutan dengan kawasan yang telah dibalak dan keberkesanan kawasan yang telah dijalankan rawatan silvikultur;
Sebagai satu rangkaian petak sampel dan petak kajian seperti petak penyelidikan, petak fenologi, petak pokok besar dan petak ekologi, penyelidikan biologi hidupan liar, patologi tumbuhan, entomologi dan sebagainya; dan
Sebagai kawasan pemeliharaan sumber genetic dan kepelbagaian biologi termasuk semua spesies tumbuh-tumbuhan, hidupan liar dan mikro organisma yang tinggal di dalamnya.